
Kota Kinabalu: Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan dibuat pihak yang mendakwa waris Sultan Sulu dan tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara yang dibuat di Sepanyol dan Perancis.
Menerusi satu kenyataan bersama Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara, semalam, Malaysia menegaskan ia sentiasa menegakkan dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.
Tambahan pula, katanya perkara dalam tuntutan itu bukan bersifat komersial dan tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara selain Perjanjian 1878 di antara Sultan Sulu ketika itu dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent juga tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.
“Kerajaan Malaysia juga ingin menekankan bahawa identiti Penuntut diragui dan belum disahkan,” kata kenyataan itu merujuk kepada laporan berita mengenai penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa yang dilapor mengarahkan kerajaan Malaysia membayar USD14.92 bilion atau bersamaan RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu.
Ia berkaitan tuntutan mereka atas dakwaan pelanggaran perjanjian berkaitan pajakan ke atas Sabah yang ditandatangani pada 1878.
Kenyataan bersama itu menyebut pihak yang mendakwa sebagai waris dan successors-in-interest kepada Sultan Jamalul Kiram II (Penuntut) membuat satu tuntutan terhadap kerajaan Malaysia melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.
“Tuntutan tersebut berbangkit daripada perjanjian yang telah dimeterai pada 1878 di antara Sultan Mohamet Jamal Al Alam, Sultan Sulu pada masa itu (Sultan Sulu) dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent (Perjanjian 1878) yang mana Sultan Sulu menyerahkan buat selama-lamanya wilayahnya di Borneo Utara, yang kini adalah sebahagian daripada Sabah, Malaysia.
“Sebagai balasan (token), Sultan Sulu serta warisnya diberikan wang serahan sebanyak RM 5,300.00 setiap tahun. Susulan daripada serangan bersenjata di Lahad Datu, bayaran wang serahan tersebut telah dihentikan pada 2013,” katanya.
Kenyataan bersama itu menjelaskan pada 14 Januari 2020, Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak (Mahkamah Tinggi Sabah), yang bersidang di Kota Kinabalu, membuat keputusan yang tidak memihak kepada Penuntut dengan memutuskan bahawa Perjanjian 1878 tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.
Mahkamah itu turut memutuskan bahawa Malaysia tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya, penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibangkitkan dan Mahkamah Tinggi Sabah adalah forum yang neutral dan teratur untuk memutuskan apa-apa tuntutan berkaitan dengan Perjanjian 1878 itu.
“Kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi Sabah itu di Mahkamah Tinggi Madrid di Sepanyol. Walau bagaimanapun, permohonan itu belum didengar,” katanya.
Jelas kenyataan bersama itu lagi, pada 29 Jun 2021, berdasarkan permohonan kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi di Madrid, Sepanyol memutuskan bahawa serahan notis di bawah prosiding pelantikan penimbang tara bagi maksud Tuntutan terbabit tidak diserahkan dengan teratur kepada Malaysia selaras dengan peraturan antarabangsa dan undang undang Sepanyol (Keputusan Pembatalan).
Katanya, ia juga tidak selaras dengan keputusan kes sebelum ini di bawah Mahkamah Tinggi Madrid bagi maksud proses serahan kepada negara berdaulat.
Akibat daripada Keputusan Pembatalan itu, katanya Dr Stampa bukan lagi seorang penimbang tara dalam prosiding timbang tara berkenaan dan oleh itu, semua keputusan Dr Stampa, termasuk Final Award, adalah tidak sah dan terbatal.
“Kerajaan Malaysia menolak sepenuhnya Final Award bertarikh 28 Februari 2022, yang telah dikeluarkan oleh Dr Stampa,” katanya.
Kenyataan bersama itu juga menegaskan, walau apapun Keputusan Pembatalan oleh Mahkamah Tinggi Madrid, Penuntut, dalam cubaan mereka untuk memintas keputusan berkenaan tanpa pengetahuan kerajaan Malaysia, telah memperoleh perintah ex parte dari Tribunal de Grande Instance di Paris, Perancis (Perintah Exequatur) untuk mengiktiraf Partial Award on Jurisdiction yang dikeluarkan Dr Stampa pada 25 Mei 2020 (yang telah dibatalkan akibat Keputusan Pembatalan).
Berdasarkan Perintah Exequatur, jelas kenyataan bersama itu, Dr Stampa telah menukar tempat timbang tara ke Paris, Perancis untuk mengeluarkan Final Award.
Ekoran daripada tindakan Penuntut, katanya jerajaan Malaysia memfailkan satu rayuan terhadap Perintah Exequatur itu di Mahkamah di Perancis yang mana kerajaan Malaysia berjaya memperoleh Perintah ex parte bertarikh 16 Disember 2021 (Perintah Penggantungan) daripada First President of the Paris Court of Appeal yang menggantung pelaksanaan Perintah Exequatur di Perancis dan menghalang Penuntut daripada bergantung kepada Perintah Exequatur itu.
“Bertentangan dan bercanggahan dengan Perintah Penggantungan tersebut, Penuntut mengekalkan kedudukan dan pendirian bahawa Perintah Exequatur tersebut berkuat kuasa dan Final Award hendaklah dikeluarkan di tempat timbang tara di Paris, Perancis.
“Dr Stampa bersetuju dengan permohonan Penuntut dengan tidak mengendahkan kesan penggantungan Perintah Exequatur,” katanya
Kenyataan bersama itu berkata, kesannya adalah Final Award yang dikeluarkan Dr Stampa pada 28 Februari 2022 bukan sahaja mencabuli kekebalan kedaulatan Malaysia malah tidak mempedulikan keputusan mahkamah di Madrid dan Paris.
“Kerajaan Malaysia dengan tegasnya membantah Final Award dan mengekalkan pendiriannya untuk tidak mengiktiraf kesemua tindakan yang telah diambil oleh Dr Stampa dalam prosiding timbang tara yang dikatakan itu serta semua keputusannya yang mana adalah tidak sah dari segi undang-undang.
“Dalam hal ini, pihak Pendakwa Raya Sepanyol telah memfailkan suatu aduan jenayah terhadap Dr Stampa bagi kesalahan menghina mahkamah yang serius dan gangguan profesional (profesional intrusiveness). Mahkamah Jenayah N.40 di Madrid kemudiannya telah memulakan suatu siasatan jenayah berhubung dengan tindakan tindakan Dr Stampa yang tidak sah dari segi undang-undang,” katanya.
Kerajaan Malaysia katanya akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala Tuntutan terbabit dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.
-Deasoka