Lelaki seleweng 800 liter diesel ditahan

Lelaki seleweng 800 liter diesel ditahan

Tawau: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah stesen minyak di daerah ini, semalam.

Dalam serbuan pada jam 7.50 itu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30 tahun ditahan hasil risikan sejak seminggu lalu ke atas stesen-stesen minyak di daerah ini.

Penguat kuasa membuat pemeriksaan ke atas lori berkenaan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Tawau, Sam Aminudin berkata, risikan berkaitan aktiviti penyelewengan minyak diesel di stor-stor penyimpanan dan stesen-stesen minyak sekitar daerah ini telah dilakukan selama seminggu.

Katanya, ketika serbuan, pasukan penguat kuasa mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di stesen minyak berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan sedang mengisi minyak diesel di dalam tangki yang diubah suai di belakang lori berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada pengawal bekalan bagi membeli barang kawalan minyak diesel itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Susulan itu, Sam berkata, dua tindakan kes telah dihasilkan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan kesalahan dibawah Seksyen 21 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 (pindaan 2021).

“KPDNHEP merampas sejumlah 800 liter diesel, tangki minyak diubah suai dan lori yang digunakan suspek.

“Selain itu, turut disita beberapa dokumen daripada stesen minyak berkenaan untuk siasatan lanjut dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM15,720,” katanya.

Sementara itu, Sam berkata, orang ramai disaran untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan memberikan sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|