Lelaki maut, kereta rempuh besi penghadang jalan

Lelaki maut, kereta rempuh besi penghadang jalan

Tawau: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh besi penghadang jalan di Jalan Merotai, Kampung Bukit, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa berusia 27 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 5.11 pagi.

Katanya, seramai tujuh pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan kereta Proton Persona yang dipercayai terbabas sendiri sebelum merempuh penghadang jalan.

“Terdapat seorang mangsa yang tersepit di dalam kenderaan dan pasukan bomba terus bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan rescue tools(RTA),”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut hadir membantuu di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.50 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|