Lelaki bakar diri kecewa ditinggalkan

Lelaki bakar diri kecewa ditinggalkan

Kangar: Lelaki yang terbakar dalam kejadian kebakaran kereta di Jalan Syed Omar, Kampung Syed Omar, di sini, malam tadi dilaporkan mempunyai masalah mental dan pernah cuba membunuh diri kerana kecewa ditinggalkan kekasih.

Dalam laporan portal Malaysiapost hari ini, mangsa berusia 28 tahun terbabit dilaporkan mengalami kecederaan melecur 96 peratus akibat kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Wari Kiew, berkata polis menerima maklumat mengenai kebakaran kereta terbabit pada 8.49 malam daripada seorang pekerja kilang papan berusia 38 tahun.

“Seorang orang awam kemudian memberhentikan kereta di belakang kereta yang sedang terbakar dan ternampak lelaki dalam keadaan terbakar berjalan ke arah keretanya.

“Saksi kemudian keluar dari kereta dan menenangkan lelaki serta memadamkan kebakaran pada badan mangsa sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu turut tular video berdurasi 22 saat kejadian kebakaran kereta berkenaan yang memaparkan seorang lelaki yang terbakar sedang berjalan ke arah kereta perakam.

Perakam video yang juga pemandu kereta yang dihampiri bertindak mengundurkan kenderaan kerana terkejut dengan kejadian itu.

Wari berkata, pihak bomba yang tiba di lokasi kejadian kemudian berjaya memadamkan kebakaran kereta berkenaan dan mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, mangsa berusia 28 tahun yang menetap di Kangar mengalami kecederaan melecur 96 peratus anggota badan.

“Menurut bapa mangsa, mangsa adalah seorang pesakit psikiatri yang masih menerima rawatan sebagai pesakit luar di Jabatan Psikiatri HTF.

“Lelaki terbabit pernah cuba membunuh diri pada Januari dan Selasa lalu namun diselamatkan keluarga dan punca mangsa cuba membunuh diri dipercayai kecewa bekas teman wanitanya sudah mempunyai kekasih baru,” katanya.

Menurutnya, dalam kejadian malam tadi bapa mangsa turut memaklumkan anaknya meminum petrol pada 8.45 malam sebelum keluar rumah menaiki kereta.

Katanya, bapa mangsa yang berasa curiga membuat laporan di Balai Polis Kangar kerana percaya mangsa cuba membunuh diri sekali lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|