Lapangan Terbang Sandakan kini mampu kendalikan penerbangan jauh

Sandakan: Lapangan Terbang Sandakan kini mampu mengendalikan pesawat kod ‘C’ tanpa muatan dengan penerbangan hingga enam jam berikutan siapnya projek pembesaran lapangan terbang itu yang menelan kos RM80.9 juta, baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata skop utama projek itu ialah pemanjangan landasan sedia ada daripada 2,133 meter kepada 2,500 meter.

Wee Ka Siong pada sidang media sempena majlis perasmian pembesaran Lapangan Terbang Sandakan.

“Ini secara langsung boleh menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan komersial untuk terbang secara terus ke Sandakan dan meningkatkan kemasukan pelancong dalam dan luar negara, seterusnya menambah daya saing ekonomi, komersial dan pelancongan.

“Skop projek pembesaran Lapangan Terbang Sandakan juga termasuk pelebaran kawasan parkir pesawat dan naik taraf peralatan navigasi penerbangan seperti ‘Precision Approach Light’, ‘Instrument Landing System’ atau ‘glide path’ (ILS/GP) dan ‘Precision Approach Oath Indicator’ (PAPI),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis perasmian pembesaran Lapangan Terbang Sandakan, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ka Siong berkata, projek penggantian dan penambahbaikan sistem pengurusan trafik udara di wilayah maklumat penerbangan merangkumi Sabah dan Sarawak juga sudah disiapkan.

Katanya, melalui projek itu, radar di Sandakan selesai dibina dan beberapa lagi radar di Sarawak dan Sabah turut diganti, membabitkan kos sebanyak RM183 juta.

“Pemasangan radar dan peralatan ADS-B
di Sandakan telah ditambah baik di mana ruang udara yang sebelum ini terlindung daripada liputan radar disebabkan oleh pergunungan Kinabalu dapat diatasi sepenuhnya.

“Malah, data radar ini juga dikongsi oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang
bertanggungjawab memastikan ruang udara di Sabah dan Sarawak selamat daripada pencerobohan anasir-anasir luar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|