KPMKR komited budayakan nilai integriti – Shahelmey

Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) komited untuk membudayakan nilai integriti dalam kalangan warga kementerian sebagai usaha meningkatkan kualiti perkhidmatannya.

Menterinya, Datuk Ir Shahelmey Yahya menegaskan pembudayaan nilai integriti itu memerlukan komitmen semua jabatan dan agensi di bawahnya.

“Kementerian telah menyemak semula Buku Pelan Antirasuah KPMKR selari dengan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 dengan menstrukturkan semula bidang keutamaan dan memasukkan inisiatif-inisiatif baharu bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan.

“Beberapa pengisian program telah dirancang bertujuan memberikan pendedahan dan pengetahuan mengenai integriti kepada seluruh warga kerja KPMKR.

“Komitmen jabatan dan agensi serta seluruh warga KPMKR sangatlah diharapkan agar program-program dapat dilaksanakan dengan berkesan serta mencapai sasaran kementerian untuk menyebarluaskan program integriti kepada semua kumpulan sasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Minggu Integriti Peringkat Kementerian bagi Tahun 2022 dan Pelancaran Buku Pelan Antirasuah (Semakan Semula) 2022-2026 di pejabatnya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Siasatan Negeri SPRM Sabah, Syamsul Osman; Pembantu Menteri KPMKR; Datuk Julita Majungki dan Setiausaha Tetap KPMKR; Datuk Sr Lee Chun Khiong.

Shahelmey juga percaya langkah menyemak semula Pelan Antirasuah KPMKR itu akan membawa keberkesanan kepada usaha perancangan, pelaksanaan dan pemantauan nilai integriti di kementerian berkenaan.

“Saya percaya dengan inisiatif melaksanakan penilaian dan semakan semula terhadap risiko-risiko rasuah yang tersenarai, maka perancangan, pelaksanaan, serta pemantauan akan lebih berkesan, berintegriti serta bebas rasuah.

“Saya menyeru kepada semua warga KPMKR, jabatan dan agensi agar bersama-sama berganding bahu bekerja sebagai satu pasukan untuk merakyatkan perkhidmatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|