KKM beri imunisasi tanpa mengira status kerakyatan

KKM beri imunisasi tanpa mengira status kerakyatan

Semporna: Kementerian Kesihatan (KKM) mengulangi pendiriannya mengenai pemberian suntikan imunisasi yang diberikan kepada sesiapa sahaja di negara ini tanpa mengira status kerakyatan.

Timbalan menterinya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, menegaskan tiadapilih kasih dalam soal pemberian suntikan imunisasi demi kesihatan semua yang tinggal di negara ini.

Beliau memberi contoh pemberian suntikan vaksin Covid-19 diberikan kepada semua yang tinggal di negara ini secara percuma.

Katanya, KKM mempunyai pelan sejahtera bagi membolehkan golongan bukan warga negara mendapatkan perkhidmatan dan akses ke institusi kesihatan dengan kos yang lebih rendah.

“Kita di sini tiada pilih kasih, demi kesihatan, kita memberikan untuk semua orang yang berada dan tinggal di Malaysia sama ada dia warga negara atau bukan warga negara.

“Contohnya perkhidmatan imunisasi Covid-19 kepada semua termasuk penduduk bukan wargan negara yang mana perkhidmatan ini boleh diakses di fasiliti kerajaan ataupun swasta yang berhampiran dan diberikan secara percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Sambutan Minggu Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2022 di Dewan Masyarakat Semporna, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai komposisi penduduk Sabah yang mana satu pertiga daripadanya didakwa terdiri daripada golongan tanpa negara yang berpendapatan lebih rendah berbanding golongan B40.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|