Ketepikan perbezaan politik, tumpu pembangunan Sabah – Joniston

Ketepikan perbezaan politik, tumpu pembangunan Sabah – Joniston

Tuaran: Ahli politik di Sabah sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang digesa supaya tidak terlalu berpolitik hingga hilang tumpuan terhadap usaha membantu rakyat dan membangunkan negeri.

Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai, sebaliknya menggesa semua ahli politik menumpukan usaha untuk membawa pembangunan demi kebaikan bersama.

Joniston mengagihkan bakul makanan kepada penduduk di Kampung Poring, Kiulu.

Beliau berkata, pergaduhan politik yang berterusan hanya mengakibatkan pemimpin, khususnya wakil rakyat hilang tumpuan daripada fokus asal masing-masing menjayakan agenda memajukan rakyat.

“Kita mesti mengalihkan perhatian kita kepada rakyat kerana mereka memberi kepercayaan kepada kita (wakil rakyat) untuk membawa perubahan ke arah kemajuan yang lebih baik.

Joniston mengagihkan mengagihkan bakul makanan dan peralatan perlindungan Covid-19 kepada penduduk kampung di Kiulu.

“Sekarang adalah masanya untuk menunjukkan keikhlasan dan keupayaan kita bekerjasama demi menjadikan Sabah lebih maju dan cergas dari segi ekonomi.

“Kita mungkin mempunyai ideologi politik yang berbeza tetapi apabila bercakap mengenai membawa perubahan untuk kepentingan rakyat dan negeri, kita semua harus bersama tanpa mengira perbezaan fahaman politik,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu itu berkata demikian pada majlis penyerahan bakul makanan yang disumbangkan seorang dermawan kepada keluarga yang memerlukan di Balai Raya Kampung Poring, Kiulu, di sini, semalam.

Joniston yang juga Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut menyumbangkan topeng muka, peralatan menyukat suhu badan dan sanitasi kepada 11 rumah ibadat di kawasan itu.

Beliau berkata kerajaan GRS di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat dan ia antara sebab peruntukan untuk setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dinaikkan kepada RM2 juta pada tahun ini.

Katanya, kerajaan negeri di bawah GRS mempunyai kedudukan yang kukuh dan masih berbaki empat tahun lagi untuk menunaikan mandat yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya lalu.

Dalam pada itu, Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri menasihati penduduk kampung agar tidak leka dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun jumlah kes Covid-19 di negeri ini semakin berkurangan.

Sementara itu, seorang penerima bungkusan makanan, Samulin Gosudang dari Kampung Poring, Kiulu melahirkan rasa syukur atas sumbangan yang diberikan kerana ia dapat membantu meringankan beban keluarganya.

“Kami sangat terharu dengan sikap murah hati individu yang dermawan kerana tampil memberikan kami bakul makanan.

“Bantuan ini sudah pasti akan memberi manfaat kepada golongan miskin yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Selain itu, Joniston turut melawat Kampung Mantob dan Libodon, Kiulu untuk mengagihkan bakul makanan dengan bantuan ketua masyarakat kampung.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|