Kes keganasan rumah tangga di Sabah meningkat

Kota Kinabalu: Kes keganasan rumah tangga di Sabah dilaporkan meningkat kepada 145 kes antara Januari hingga April lalu berbanding 126 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, kes keganasan rumah tangga semakin banyak didedahkan dan kerap dilaporkan di media perdana, selain media sosial.

Siti Zailah ketika hadir pada Program Semarak Skuad Waja Negeri Sabah Tahun 2022 di pusat beli belah Imago, Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, katanya jumlah kes keseluruhan di seluruh negara menunjukkan penurunan kepada 576 kes antara Januari hingga April lalu berbanding 627 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Menurut Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang Januari hingga April 2021, sebanyak 627 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan dan daripada jumlah itu sebanyak 126 kes telah dilaporkan terjadi di Sabah.

“Pada tahun ini pula, dalam tempoh yang sama iaitu dari Januari hingga April 2022, sebanyak 576 kes telah dilaporkan dan terdapat sedikit penurunan kes berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Skuad Waja Negeri Sabah Tahun 2022 di pusat beli belah Imago, di sini, semalam.

Zailah berkata, walaupun terdapat sedikit peningkatan kes di Sabah, ia mampu ditangani dengan kerjasama semua pihak.

“Walaupun berlaku sedikit peningkatan, saya percaya dan yakin bahawa kita boleh bersama-sama menangani isu ini dengan kerjasama padu daripada semua pihak serta menggerakkan Skuad Wanita Anti Jenayah (Skuad Waja) untuk memainkan peranannya dalam komuniti,” katanya.

Bercakap mengenai Skuad Waja, beliau berkata sejak dilancarkan pada tahun lalu jumlah yang telah dilatih adalah seramai 120,693 orang.

“Antara Januari hingga 26 Mei lalu, seramai 172,003 orang Sukarelawan Skuad Waja telah berdaftar menjadikan keseluruhan ahli Skuad Waja sehingga kini berjumlah seramai 304, 982 orang.

“Di Sabah sendiri kita mempunyai seramai 21,387 ahli Skuad Waja yang terdiri daripada 12,228 wanita dan 9,159 lelaki,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|