Keningau: Tiga sekeluarga terselamat selepas kereta Perodua Axia dinaiki bertembung dengan sebuah lagi kenderaan di Jalan Nabawan Sepulut, Batu 47, di sini, malam tadi.
Dalam insiden jam 9.15 malam itu, kenderaan mangsa bertembung dengan sebuah motokar menyebabkan kereta jenis Proton Saga itu terbakar.
Kenderaan mangsa bagaimanapun tidak terbakar, manakala pemandu Proton Saga terbabit tidak dapat dikesan.
Semua mangsa dihantar ke Hospital Keningau oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.25 malam.
Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiada mangsa berada di lokasi kejadian manakala sebuah kenderaan jenis Proton Saga terbakar sepenuhnya.
“Pasukan Bomba kemudiannya bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran hose dari tangki jentera,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan api kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.25 malam.
Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.10 malam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, pasangan suami isteri dan anak masih menerima rawatan di Hospital Keningau.
Manakala katanya, pemandu sebuah lagi kenderaan yang terbakar pula masih belum dapat dikesan selepas disyaki melarikan diri.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) dan siasatan lanjut masih diteruskan.
“Pihak Polis mohon saksi awam yang melihat kejadian untuk tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Keningau bagi membantu siasatan,” katanya.
-Deasoka