Kerajaan pertimbang sedia bangunan khas PPS – Hajiji

Kerajaan pertimbang sedia bangunan khas PPS – Hajiji

Kota Marudu: Cadangan untuk mewujudkan bangunan khas pusat pemindahan sementara (PPS) bagi daerah yang sering terjejas akibat banjir akan dipertimbangkan oleh kerajaan negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan perkara itu kerana mengambil kira kepentingan mangsa yang yang terjejas apabila tiba musim banjir.

Hajiji menyampaikan bantuan wang ihsan dan bakul makanan kepada mangsa banjir di PPS Dewan Komuniti Kota Marudu.

“Itu akan diberi perhatian dan dipertimbangan oleh kerajaan negeri kerana setiap kali musim banjir, tempat pemindahan tidak cukup atau tidak ada.

“Jadi kalau itu menjadi keperluan utama setiap kali banjir, maka kerajaan akan pertimbangkannya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan banjir di Pentas Utama Padang Kota Marudu, di sini, hari ini.

Hajiji menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Pitas.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan diwujudkan bangunan khas PPS bagi mangsa banjir di kawasan yang sering dilanda banjir di Sabah.

Mengulas lanjut, beliau juga mahu jabatan berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melihat secara keseluruhan bagi mengurangkan impak setiap kali berlakunya banjir di Sabah.

“Sungai yang sempit perlu dibersihkan dan dibesarkan, ia mesti dilakukan atau dirancang dari sekarang supaya pada masa akan datang impak itu tidak terkesan dan dapat mengurangkan masalah banjir yang melanda kampung-kampung berkenaan.

“Begitu juga PBT dn JKR lihat parit-parit yang tersumbat, bersihkan supaya aliran air ketika hujan lebat akan terus mengalir dengan cepat dan kurangkan risiko banjir, itu yang kita harapkan,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas status projek tebatan banjir di negeri ini, Hajiji menjelaskan bahawa ia adalah satu rancangan yang memerlukan kajian dengan teliti.

“Ini satu rancangan yang memerlukan kajian yang bukan saja besar peruntukannya dan kajian mendalam, tetapi juga perkara yang perlu difikirkan oleh jabatan berkenaan adalah untuk jangka masa panjang dalam usaha mengurangkan kesan banjir.

“Kita juga arahkan jabatan-jabatan berkenaan supaya buat satu cadangan atau kajian menyeluruh untuk tebatan banjir kerana keadaan sekarang yang semakin teruk jika berlaku banjir,” katanya.

Sebelum itu, mengulas berhubung kerosakan yang dialami berikutan bencana banjir di kawasan yang terjejas, Hajiji berkata, pegawai daerah diminta supaya membuat penilaian terhadap kerosakan yang dihadapi.

“Kita minta Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir di daerah masing-masing iaitu Pegawai Daerah untuk membuat penilaian nanti kepada kerosakan lain seperti jalan raya, jambatan dan sebagainya serta mungkin ada rumah yang rosak atau hanyut semasa banjir.

“Kerajaan akan bantu mereka yang mengalami kerosakan rumah selepas menerima laporan daripada Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Daerah, baru boleh tentukan bila boleh beri bantuan kepada mereka,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|