Kepayan Bravo Blue (PDRM) Sabah juara Kejohanan Badminton Berpasukan Piala Olympia Sabah

Kepayan Bravo Blue (PDRM) Sabah juara Kejohanan Badminton Berpasukan Piala Olympia Sabah

Kota Kinabalu: Pasukan badminton Kepayan Bravo Blue, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah, lakar sejarah tersendiri apabila muncul juara buat julung kalinya di Kejohanan Badminton Berpasukan Piala Olympia Sabah.

Pasukan yang diketuai Asisten Superintendan Mohd Yassin Sagap itu merangkul kejuaraan selepas menewaskan pasukan AturMaju.

Tempat kedua disandang pasukan AturMaju selepas tewas kepada Kepayan Bravo Blue pada perlawanan akhir, semalam.

Meskipun menerima tentangan sengit daripada pasukan AturMaju, pasukan Kepayan Bravo Blue berjaya menundukkan lawan dengan dua kemenangan untuk menjadi juara pertama kejohanan berkenaan.

Pasukan juara memulakan perlawanan akhir dengan kemenangan pasangan bergu campuran yang diwakili Inspektor Nurwati Ismail dan Sarjan Ishak Abdul Razak.

Pasangan itu berjaya mengalahkan pasangan Tan Sue Lin dan Ku Zen Yie dengan kiraan mata 31-27.

Perlawanan kedua pula membabitkan bergu lelaki yang dimenangi pasangan Samrin Abdul Sahi dan Lans Koperal Mohd Fadhly Mat Nor.

Mereka turut mempamerkan persembahan cemerlang dan berjaya mengalahkan pasangan Gan Jen Sen dan Jack Chin dengan kiraan mata 31-25.

Dua kemenangan itu cukup untuk memberikan kejuaraan sulung dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.

Manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan Lahad Datu Plus selepas menundukkan pasukan Kepayan Bravo Yellow dengan dua berbalas satu mata kemenangan.

Sementara itu, penganjur kejohanan, Jacko Pan berkata, semua pihak perlu bekerjasama untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan seperti ini bagi memberi ruang kepada pemain mempamerkan kebolehan masing-masing.

Katanya, ia juga sebagai salah satu dorongan dalam usaha untuk memajukan lagi sukan badminton di negeri dan negara ini secara amnya.

“Kita berharap selepas ini akan ada lebih banyak tajaan dan sokongan daripada semua pihak untuk memastikan pemain berbakat terutamanya anak muda terus berjaya hingga ke peringkat dunia,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|