Kenaikan yuran TTS masih tunggu pewartaan – Jafry

Kota Kinabalu: Kenaikan yuran kemasukan di kawasan Taman-Taman Sabah (TTS) masih dalam peringkat proses pewartaan pejabat Peguam Besar Negeri Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pihak TTS telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti dan mengkaji kenaikan yuran berkenaan sebelum keputusan itu diambil.

“Kita masih dalam proses pewartaan yang telah dihantar ke Pejabat Peguam Besar Negeri untuk mewartakan angka atau bayaran baharu yang akan dikenakan kepada orang awam.

“Cadangan itu saya rasa tidak terlalu tinggi terutama kepada pelancong tempatan dan kita lebih mengenakan sedikit tinggi kepada pelancong antarabangsa memandangkan tukaran wang asing jika mereka bayar pun nilainya kecil bagi mereka,” katanya kepada media selepas penutupan Kongres Taman-Taman Asia (APC) Ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC ), semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kebimbangan kenaikan yuran yang mungkin mencecah sehingga 100 peratus selepas TTS memaklumkan akan melakukan semakan semula bagi yuran kemasukan produk di bawah TTS.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa TTS mempunyai enakmen yang membenarkan TTS mengenakan sebarang bayaran atau caj bagi produk di bawah taman itu.

“Sebenarnya, bayaran yang dikenakan TTS masih terlalu rendah berbanding tempat lain ekoran kos operasi yang meningkat dan pelbagai perbelanjaan yang perlu di tampung oleh TTS,” katanya.

Sehubungan itu, Jafry berkata, sudah tentu perkara itu akan dimaklumkan kepada orang ramai terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan.

“Sudah tentu kita akan berikan ruang masa sebelum melaksanakan keputusan dan selepas kita maklumkan baru kita kenakan bayaran yang baharu,” katanya.

Sebelum ini TTS dilaporkan bakal menaikkan yuran kemasukan bagi semua produk di bawah seliaannya selepas lebih 20 tahun tidak pernah disemak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|