
Kota Kinabalu: Dua beradik kembar seiras mencuri perhatian hadirin pada sidang empat Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-22 yang diadakan di Dewan Canselor, hari ini.
Selain wajah yang seiras dan sukar dibezakan, Nurul Adilah Dahuli dan adik kembarnya, Nurul Adlina, 27, juga menerima ijazah yang sama.
Kedua-dua graduan itu menerima Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dengan Kepujian (Pengurusan Perhotelan), Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP).
Menurut Nurul Adilah, mereka tidak pernah terpisah sejak zaman kanak-kanak sehingga berjaya melanjutkan pengajian di UMS.
“Kami tidak pernah terpisah sejak kanak-kanak lagi. Dari tadika, sekolah rendah hingga ke sekolah menengah kami sentiasa bersama-sama dalam satu kelas.
“Malah di peringkat universiti ini, kami juga memilih kursus yang sama dan hari ini kami sama-sama hadir ke Majlis Konvokesyen UMS,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Nurul Adilah berkata, dia merancang untuk membuka perniagaan bakeri pada masa akan datang bagi mengelak daripada berpisah dengan adiknya.
“Sekiranya kami bekerja, sudah pasti akan terpisah antara satu sama lain. Saya mungkin bekerja di tempat lain, manakala adik saya mungkin di syarikat lain.
“Jadi kami mengambil keputusan merancang untuk membuka perniagaan bakeri, supaya kami sentiasa dapat bersama-sama.
“Lagi pula, saya dan adik kembar mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tersebut yang diperoleh daripada pengajian program Pengurusan Perhotelan di UMS,” katanya.
Sementara itu, Adlina memaklumkan wajahnya yang seiras dengan kakaknya menyebabkan ramai sukar membezakan mereka berdua terutama pada musim pandemik.
“Sebelum ini, kami senang dibezakan kerana saya mempunyai tahi lalat di pipi. Namun apabila musim pandemik, ada yang tidak dapat mengenali mana kakak, mana adik kerana masing-masing memakai pelitup muka.
“Yang perasan, hanya boleh membezakan kami melalui warna bingkai cermin mata,” katanya.
Kembar seiras yang berasal dari Kota Belud itu menerima ijazah masing-masing yang disampaikan Pro Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim.
-Deasoka