Kemalangan bongkar kegiatan curi kenderaan 3 individu di Tuaran

Kemalangan bongkar kegiatan curi kenderaan 3 individu di Tuaran

Tuaran: Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan selepas didapati terbabit dalam empat kes curi kenderaan yang dilaporkan berlaku sekitar Januari hingga Mac tahun ini.

Ketiga-tiga penjenayah berusia lingkungan 20 hingga 25 tahun terbabit ditahan di sebuah pusat penginapan di Gayang, di sini, kelmarin.

Keadaan Toyota Avanza yang dilanggar oleh kereta Perodua Viva dipandu suspek.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kejayaan tangkapan bermula selepas salah seorang suspek terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Timbok – Tambalang, di sini, jam 6.50 pagi, 16 Mac lalu.

Katanya, berdasarkan laporan diterima, kenderaan Perodua Viva yang dipandu suspek dikatakan merempuh sebuah Toyota Avanza yang diletakkan di tepi jalan berkenaan.

Kejadian kemalangan itu turut tular di media sosial.

“Kemalangan mengakibatkan Perodua Viva dinaiki suspek terbabas dan terbalik manakala Toyota Avanza berkenaan pula mengalami kerosakan.

“Suspek dilaporkan mengalami kecederaan dikaki namun mereka terus bertindak meninggalkan lokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, pemilik Toyota Avanza terus membuat laporan polis sejurus selepas itu dan pemeriksaan mendapati Perodua Viva yang digunakan adalah kenderaan dilaporkan hilang di kawasan Inanam, Kota Kinabalu, sehari sebelum kejadian.

Katanya, hasil siasatan dijalankan membawa kepada penahanan ketiga-tiga suspek dan mereka dibawa ke Balai Polis Tuaran untuk tindakan selanjutnya.

“Modes Operandi yang digunakan suspek adalah mengambil peluang terhadap mangsa yang meninggalkan kenderaan dalam keadaan tidak berkunci dan enjin masih hidup.

“Hasil semakan rekod jenayah, semua suspek pernah ditahan di daerah Tuaran dan Kota kinabalu kerana terbabit dengan tiga kesalahan jenayah curi kenderaan dan penagihan dadah.

“Dengan tertangkapnya semua suspek, IPD Tuaran berjaya menyelesaikan empat kes curi kenderaan di daerah Tuaran yang disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hamizi menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak meninggalkan kenderaan dalam keadaan tidak berkunci dan enjin masih dihidupkan.

Katanya, orang ramai juga diminta tampil menyalurkan maklumat berhubung sebarang kejadian jenayah terutamanya di Daerah Tuaran, supaya tindakan dapat diambil dengan segera.

“IPD Tuaran akan sentiasa mengambil perhatian serius dan tindakan sewajarnya terhadap sebarang insiden jenayah serta maklumat yang disalurkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|