Kegiatan penyelewengan minyak diesel, dipatahkan

Kegiatan penyelewengan minyak diesel, dipatahkan

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mematahkan satu kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah stor tidak bernombor di Jalan Bunga Raya Kepayan, di sini, hari ini.

Dalam serbuan jam 11.30 pagi itu, pasukan operasi berjaya merampas minyak diesel bernilai RM3,561.50, yang dipercayai cuba diselewengkan.

Pasukan operasi menjalankan serbuan ke atas sebuah stor disyaki melakukan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Jalan Bunga Raya, Kepayan, Kota Kinabalu.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, hasil serbuan, pihak berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai pemilik kepada barang kawalan berkenaan.

“Pasukan operasi menemui sebanyak 1,610 liter minyak diesel dalam ‘square tank’, tong drum, dan ‘jerry can’ serta electronic pump yang disyaki digunakan untuk diseleweng.

Pasukan operasi melakukan pemeriksaan ke atas stor tidak bernombor kerana menjalankan penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

“Suspek ditahan untuk diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Georgie berkata, berdasarkan keterangan awal, pemilik barang kawalan terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

Antara tong berisi diesel bersubsidi yang dirampas.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan.

“Kes dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen,” katanya.

Menurutnya, siasatan juga akan dijalankan mengikut Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

Katanya, mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta

“KPDNHEP juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Georgie berkata, KPDNHEP akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan.

Katanya, ia bagi memastikan tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan di negeri ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu juga boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian untuk tindakan segera,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|