
Kota Kinabalu: Harapan tinggi disandarkan penyokong dan peminat bola sepak Sabah untuk melihat kejayaan pasukan kesayangan mereka, Sabah FC dalam aksi sulung Liga Super 2022 di Stadium Likas malam tadi berakhir dengan kekecewaan.
Perasaan sama juga dikongsikan Ketua Jurulatih skuad Sang Badak itu, Datuk Ong Kim Swee yang nyata tidak berpuas hati dengan kegagalan anak buahnya menundukkan pasukan pelawat, Negeri Sembilan FC (NSFC).

Katanya, Sabah FC tidak seharusnya tewas 1 – 0 di tangan NSFC jika anak buahnya dapat memanfaatkan peluang yang mereka ada termasuk sepakan penalti yang diberikan pengadil kepada penyerang import dari Brazil, Neto Pesoa pada minit akhir babak pertama.
Namun, katanya perkara sebaliknya pula berlaku apabila NSFC berjaya mencuri peluang hasil hantaran sepakan percuma yang disudahkan dengan baik pemainnya, Khair Jones pada minit ke-51 dan keputusan itu kekal hingga ke akhir perlawanan.

“Kita tidak memanfaatkan peluang yang kita ada, di mana kita mengawal banyak situasi dan peluang. Malangnya, kita tidak dapat menyempurnakannya termasuk sepakan penalti.
“Lebih mengecewakan apabila pasukan Negeri Sembilan mendapat gol melalui ‘set pieces’ dan sudah tentu ini satu tamparan kepada kita,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.
Kim Swee berkata, berikutan keputusan mengecewakan itu, skuad Sang Badak perlu bangkit dan menyiapkan diri untuk menghadapi PJ City FC yang juga berlangsung di Stadium Likas pada 9 Mac ini.
Pemain Sabah FC katanya perlu kembali fokus dan memastikan dapat mengutip mata pada perlawanan yang seterusnya setelah terlepas mata pada perlawanan pertama.
Sementara itu, Kim Swee berkata prestasi Neto selaku penyerang harapan yang banyak mencipta peluang dalam aksi malam tadi, belum teruji sepenuhnya memandangkan ia baru aksi pertama Liga Super.
“Saya tahu ramai yang kecewa terutama sepakan penalti Neto yang gagal disudahkan dengan gol tetapi kita perlu beri dia peluang dalam dua atau tiga perlawanan untuk membuktikan kemampuannya.
“Saya percaya beliau mampu menjadi penjaring untuk pasukan kita,” katanya.
Dalam aksi malam tadi, Neto dapat meledakkan gol pada minit ke-24, namun malangnya dibatalkan disebabkan beliau berada di kedudukan offside.
-Deasoka