
Kota Kinabalu: “Kita terbuka kepada mana-mana parti yang memberi komen kepada parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) ini,” kata Presiden KDM, Datuk Peter Anthony.
Beliau bagaimanapun berkata, pada akhirnya terpulang kepada Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji untuk menentukan sama KDM diterima masuk dalam gabungan itu.
“Bagi saya, saya terbuka terima mana yang baik atau teguran yang boleh membina kepada parti lain tetapi terpulang kepada Pengerusi GRS yang akan tentukan kedudukan kita.
“Surat permohonan untuk memasuki atau mohon masuk GRS telah pun kita serahkan kepada Ketua Menteri selaku Pengerusi GRS,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran KDM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC, di sini, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung respons yang diterima daripada beberapa parti dalam GRS supaya tidak menerima tergesa-gesa parti politik yang ingin menyertai gabungan itu.
Diminta mengulas berhubung kehadiran Hajiji untuk pelancaran parti itu, beliau berpandangan sudah tiba masanya parti-parti politik di negeri ini melakukan gencatan politik demi memajukan Sabah.
“Saya berpandangan sudah tiba masanya gencatan politik di peringkat negeri Sabah ini perlu kita berhentikan, pergolakan politik atau pergaduhan di antara parti-parti politik harus untuk dihentikan demi Sabah.
“Tiada guna bergaduh sedangkan kedudukan Sabah tidak dapat dimajukan, adalah lebih baik kita bersatu dan kita pupuk bersama dan bermula daripada kosong,” katanya.
Sementara itu, diminta mengulas berhubung adakah KDM merancang ke arah persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU), Peter berkata, pihaknya sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Walaupun parti ini baru didaftarakan tetapi kita tahu akar umbi peringkat KDM sudah bermula sekian lama. Jadi bagi saya tiada masalah untuk menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya jika diadakan dimasa terdekat ini,” katanya.
-Deasoka