Kapal kontena hanyut diselamatkan

Kapal kontena hanyut diselamatkan

Semporna: Kapal kontena bersama 17 kru hanyut di perairan Pulau Pom Pom Semporna, di sini, diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.

Kejadian dikatakan berpunca daripada kegagalan janakuasa utama sehingga menyebabkan kapal berkenaan tidak dapat dikemudi.

Kapal kontena yang hanyut selepas mengalami kegagalan janakuasa utama. Pix Ihsan Maritim Malaysia

Jurucakap Maritim Malaysia Sabah dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, pihaknya menerima laporan dan seterusnya mengerahkan aset ke lokasi kapal berkenaan.

Katanya, kapal yang berdaftar dengan nama Danum 171 milik syarikat Shin Yang Shipping Sdn Bhd dikatakan dalam pelayaran daripada Kota Kinabalu menuju ke Tawau.

Kapal kontena ditunda keluar oleh bot tunda Santalu 36 ke Lahad Datu. Pix Ihsan Maritim Malaysia

“Kapal kontena berkenaan mengalami kerosakan pada janakuasa utama semasa melalui kawasan perairan daerah ini dan gagal dikemudikan sebelum hanyut ke arah Pulau Pom Pom.

“Bot Peronda Cenderawasih 09 dan Bot Adal 18 yang diatur gerak ke lokasi kejadian untuk mengawasi dan kawalan keselamatan persekitaran bagi mengelakkan berlaku sebarang insiden,” katanya.

Menurutnya, kapal berkenaan akhirnya berjaya ditunda keluar oleh bot tunda Santalu 36 dan dibawa menuju ke Lahad Datu untuk pembaikan kira-kira jam 4 petang.

“Semua 17 kru kapal selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini dan kapal berkenaan meneruskan pelayaran sebaik kerosakan dapat dibaikpulih,” katanya.

Sehubungan itu, Maritim Malaysia menegaskan pihaknya sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|