Labuan: Seorang kanak-kanak autisme yang dilaporkan hilang, semalam, ditemui selamat tiga jam selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Mangsa, Muhammad Harraz Ziqri, 7, berjaya ditemui kira-kira 500 meter dari kediamannya, di Simpang 7, Kampung Lajau, di sini.
Pegawai Kanan Operasi Pencarian, JBPM WP Labuan, Ardillah Supardi berkata, mangsa ditemui di kawasan hutan bukit berhampiran rumah keluarganya.
Katanya, hasil pemeriksaan awal, pasukan operasi mendapati tiada sebarang kecederaan teruk yang dialami oleh mangsa.
“Mangsa ditemui oleh pasukan mencari di kawasan hutan bukit berhampiran rumah keluarga mangsa.
“Muhammad Harraz ditemui selamat tanpa sebarang kecederaan pada tubuh badan mangsa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, operasi mencari kemudiannya ditamatkan pada jam 8.58 malam.
Dalam kejadian semalam, Muhammad Harraz disedari hilang kira-kira jam 6 petang oleh ahli keluarganya sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.
Operasi pencarian membabitkan seramai 7 anggota dan pegawai JBPM dan dibantu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Labuan.
-Deasoka