Kota Kinabalu: Penganjuran Kursus Kejurulatihan Bola Sepak Akar Umbi anjuran Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) akan menjadi pemangkin kepada pembangunan berterusan sukan bola sepak di negeri ini.
Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat berkata, ia adalah salah satu halatuju yang dirangka Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam membangunkan bola sepak di negeri ini menerusi usaha melahirkan lebih ramai jurulatih berkelayakan terutamanya di kawasan luar bandar.
Katanya, kursus yang dikendalikannya itu memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali dan mempraktikkan segala ilmu pengetahuan mengenai bola sepak.
Beliau berkata, ia secara tidak langsung membolehkan mereka melatih dan sekali gus membantu melahirkan bakat baharu di peringkat akar umbi.
“Kursus ini menumpukan fokus utama terhadap latihan kemahiran bola sepak untuk menyelaraskan serta mengembangkan platform sedia ada bagi memberi manfaat kepada jurulatih dan pemain muda.
“Kita boleh meletakkannya sebagai harapan yang lebih tinggi untuk melahirkan bakat baharu dan pemain terbaik untuk generasi akan datang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Omar Maya berkata, menerusi jurulatih yang dilahirkan, ia juga secara tidak langsung menyediakan dorongan dan platform kepada golongan muda untuk menonjolkan serta mengasah bakat mereka.
Katanya, beliau berharap, dengan peningkatan jumlah jurulatih berkelayakan, ia akan memberi pendedahan latihan cara ‘modern football’ kepada pemain akar umbi di daerah masing-masing.
“Kursus kejurulatihan bolasepak ini adalah salah satu program pembangunan bolasepak dan hala tuju Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam membangunkan bolasepak di Sabah,” katanya.
-Deasoka