
Sandakan: Taktik berselindung disebalik kapal ikan gagal memperdayakan Pasukan Polis Marin (PPM) apabila ditahan bersama pelbagai barang kawalan tanpa permit dalam operasi di kawasan laut Pulau Berhala, di sini, semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, kapal berkenaan pada awalnya ditahan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan pelbagai barang kawalan antaranya minyak diesel dan petrol, tepung gandum, minyak masak dan tong gas LPG.
“Semua barang kawalan yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran itu terus dirampas untuk siasatan selanjutnya.
“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kapal ikan yang digunakan untuk membawa semua barang kawalan berkenaan dianggarkan bernilai RM236,006,” katanya di sini.
Rusdin berkata, juragan kapal, lelaki berusia 35 tahun turut ditahan dan dibawa bersama barang rampasan ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sehubungan itu, Rusdin berkata, PPM sentiasa menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah empat Sabah di nombor 013-9391197.
Katanya, maklumat juga boleh disalurkan dengan berhubung terus ke mana-mana balai polis berdekatan.
-Deasoka