
Kota Marudu: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun terpaksa menahan kesakitan apabila jarinya tersangkut pada lubang rim kereta dalam kejadian di rumahnya di daerah ini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa terus dibawa oleh ahli keluarganya ke Hospital Kota Marudu bersama rim berkenaan untuk mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun, jari hantu tangan kanannya itu hanya berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak hospital pada jam 6.35 petang.
Katanya, operasi mengeluarkan jari mangsa dijalankan tiga anggota dan pegawai di bahagian Wad Kecemasan Hospital Kota Marudu.
“Anggota bomba menggunakan alat pemotong besi untuk mengeluarkan jari kanak-kanak terbabit yang masih terlekat pada lubang rim berkenaan.
“Operasi terpaksa dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kecederaan lebih besar pada tangan kanak-kanak terbabit,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, operasi terpaksa mengambil masa lebih dua jam sebelum jari kanak-kanak terbabit berjaya dikeluarkan.
Katanya, operasi tamat pada jam 8.50 malam tadi dan kes diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut.
-Deasoka