Isu jalan rosak: Kementerian Pengangkutan bincang rayuan kecualikan cukai jalan di Sabah

Sandakan: Kementerian Pengangkutan akan membincangkan rayuan pemandu kenderaan persendirian di Sabah yang meminta pengecualian cukai jalan berikutan keadaan jalan raya yang teruk di negeri ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pihaknya memahami rayuan pengguna jalan raya di negeri ini, namun perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu bersama pihak yang berkaitan.

“Saya akan bawa bincang dengan pihak kementerian dan melihat implikasinya macam mana. Saya akan bincang dengan pihak kerajaan negeri, Menteri Kerja Raya Sabah dan macam mana kita nak buat, kerana kita faham kalau Sabah minta kemudian Sarawak juga akan minta.

“Saya tengok keadaan ni kena lihat secara ‘total’ dan saya faham apa permintaan itu dan kita akan bawa bincang dengan kementerian perkara ni. Tapi saya tidak buat satu janji bulan dan bintang, tak boleh.

“Ini tertakluk kepada kemampuan kewangan negara sebab Kementerian Pengangkutan diberi satu peruntukan besar, mereka juga minta pendapatan yang patut dikutip oleh JPJ kepada Kementerian Kewangan, kita kena lihat dalam soal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis perasmian pembesaran Lapangan Terbang Sandakan, di sini, hari ini.

Ka Siong diminta mengulas mengenai permintaan pemandu kenderaan persendirian di Sabah yang mahu diberikan pengecualian bayaran cukai jalan berikutan keadaan jalan raya di negeri ini yang berkeadaan teruk di kebanyakan tempat.

Mereka berharap dikecualikan bayaran cukai jalan sehingga Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang dibina bagi mengatasi keadaan jalan tidak sempurna ketika ini siap.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|