Penampang: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini meluluskan peruntukan khas sebanyak RM3.5 juta untuk pembesaran Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA).
Beliau berkata, permintaan pihak KDCA itu perlu diberi keutamaan demi kebudayaan suku bangsa di negeri ini.
“Saya tidak boleh tinggalkan dewan ini kalau tidak restu permintaan, oleh itu saya mengumumkan bahawa permintaan untuk membina tambahan dan ruang menunggu yang diutarakan Timbalan Presiden KDCA, Datuk Seri Dr Clarence Bongkos Malakun termasuk pembinaan gerai makanan, diperuntukkan sebanyak RM3.5 juta dari kerajaan negeri.
“Bagi kebudayaan suku bangsa, kita perlu utamakan kerana itu permintaan dan keperluan seumpama ini diberi keutamaan kerana itu saya sukacita memaklumkan bahawa kerajaan negeri meluluskan permintaan Datuk Seri Dr Clarence,” katanya ketika merasmikan Pesta Kaamataan di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, di sini, hari ini.
Beliau dalam pada itu turut berkata, Pesta Kaamatan yang diraikan setiap tahun oleh masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) merupakan budaya yang diwarisi sejak dulu lagi.
Katanya, rakyat Sabah sangat bertuah kerana dikurniakan dengan pelbagai budaya dan seni tradisi yang kaya.
“Saya percaya setelah sebulan pesta ini berlangsung, ia telah memperkukuh dan memantapkan lagi semangat perpaduan, persaudaraan, persahabatan dan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat pelbagai suku, kaum dan budaya.
“Kepelbagaian etnik di Sabah yang boleh duduk semeja tanpa mengira sentimen agama dan bangsa adalah gambaran dan semangat sebenar Keluarga Malaysia yang perlu dikekalkan dan dipelihara selamanya.
“Saya ingin menyeru seluruh rakyat untuk mengekalkan budaya perpaduan dan permuafakatan demi masa depan yang lebih cemerlang untuk rakyat Sabah dan generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Clarence dalam ucapannya ketika mewakili Huguan Siou dan Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan memohon restu daripada Ketua Menteri untuk mendapatkan peruntukan khas daripada kerajaan negeri untuk penambahan atau membesarkan pentas Hongkod Koisaan di ruangan menunggu dewan berkenaan.
Beliau memaklumkan ia bertujuan untuk menampung peserta Unduk Ngadau yang kini sudah mencecah sehingga 44 peserta dan dewan yang dibina sejak 32 tahun lalu semakin sempit berikutan penambahan peserta Unduk Ngadau yang dulunya hanya seramai 32 wakil dari seluruh daerah di Sabah.
-Deasoka