Guru KAFA terima Anugerah Mutiara al-Quran

Tawau: Seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), Siti Hatijah Marsuki menerima Anugerah Mutiara al-Quran sempena Program Bicara Bonda, hari ini.

Isteri Ketua Menteri selaku Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah- Barisan Nasional (MUTIARA GRS-BN), Datin Seri Juliah Salag menyampaikan anugerah itu kepada Siti Hatijah selepas merasmikan Program Bicara Bonda sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat negeri Sabah di Dewan Masyarakat Tawau, di sini.

Siti Hatijah, 50, anak sulung daripada enam beradik dari Kampung Merotai Kecil, Tawau itu juga sebelum ini pernah mewakili Sabah sebanyak 11 kali pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan.

Juliah menyampaikan cenderakenangan kepada penceramah dari Makassar, Indonesia, Ustaz Dr H Das’ad Latif sempena Program Bicara Bonda di Dewan Masyarakat Tawau.

Terdahulu, Juliah merakamkan tahniah kepada penerima Anugerah Mutiara al-Quran dan berharap akan terus memberikan sumbangan dalam bidang keilmuan dan al- Quran di negeri ini.

“Saya berharap Program Bicara Bonda ini dapat menjadi wadah untuk menyemarakkan budaya keilmuan dan meningkatkan minat masyarakat terhadap aktiviti penghayatan nilai Islam sesuai dengan tuntutan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

“Semoga semua ilmu yang kita peroleh sepanjang bicara bonda ini boleh dikongsi bersama rakan-rakan lain yang tidak berpeluang menyertai majlis ini.

“Saya berharap majlis seumpama ini dapat menjadi landasan untuk mengeratkan nilai ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Beliau menambah dua nilai itu menjadi asas terpenting perpaduan dan kekuatan ummah seperti mana yang diajarkan Kitab suci al-Quran al-Karim.

Program berkenaan adalah edisi kedua yang dianjurkan oleh MUTIARA GRS-BN dengan kerjasama Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) serta beberapa agensi yang lain.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|