
Kota Kinabalu: Kerajaan persekutuan perlu menggunakan pendekatan baharu selain mengambil tindakan yang serius dalam merancang pembangunan di Sabah dan Sarawak.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata perkara itu perlu diberikan perhatian bukan hanya disebabkan saiz kedua-dua negeri yang besar berbanding negeri di Semenanjung.
Katanya, apa yang lebih penting untuk diberikan perhatian serius ialah keadaan kedua-dua negeri yang masih jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan berbanding negeri lain.
Beliau berkata, bagi mempercepatkan pembangunan, beberapa pembaharuan perlu dilaksanakan termasuk dalam proses pembukaan tender sesuatu projek memandangkan proses sedia ada memakan masa yang panjang.
“Pelaksanaan tender terbuka dalam perancangan pembangunan di Sabah dan Sarawak yang menjadi amalan sebelum ini sudah tidak relevan kerana memakan masa yang lama sebelum projek pembangunan dapat dilaksanakan.
“Ini kerana mengikut proses sedia ada pelaksanaan sesuatu projek, kerajaan persekutuan perlu melantik kosultan terlebih dahulu yang memakan masa tiga ke enam bulan. Selepas dilantik konsultan, membuat reka bentuk pula mengambil masa selama setahun.
“Selepas itu tender terbuka selama satu tahun dan dalam tempoh tiga tahun setengah itu hanya baru jalan satu projek, jadi bagiamana kita boleh mewujudkan pembangunan yang seimbang antara wilayah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang Di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, semalam.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, jika perkara itu sukar dilaksanakan, peruntukan sebanyak RM5 bilion setahun perlu diberikan kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk mengurus dan merancang pembangunannya.
Katanya, saranan itu dibuat memandangkan peruntukan yang diberikan setiap tahun tidak dapat digunakan sepenuhnya dengan hanya sekitar 38 peratus dapat digunakan.
“RM5 bilion itu sedikit sahaja terpakai dan dibawa ke hadapan lagi…akan datang umum lagi RM5 bilion. Padahal yang terpakai hanya RM1 bilion lebih, jadi sampai bila keadaan ini berlarutan,” katanya.
Sementara itu, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan dan Perdana Menteri yang bersetuju meluluskan pelaksanaan 19 lagi pakej fasa satu Projek Lebuh Pan Borneo Sabah.
“Keputusan ini sepatutnya sudah lama diambil. Berbanding dengan negeri jiran Sarawak Lebuh Raya Pan Borneo sudah hampir 85 peratus siap tapi di Sabah fasa satu baru bermula dan inilah antara kekangan yang melambatkan proses pembangunan di Sabah,” katanya.
-Deasoka