GRS lebih kukuh jika didaftarkan

GRS lebih kukuh jika didaftarkan

Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan lebih kukuh jika didaftarkan sebagai entiti politik rasmi sekali gus menjadikannya lambang identiti rakyat Sabah.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Fairuz Renddan berkata, GRS adalah sebuah gabungan terdiri daripada komponen parti untuk menubuhkan kerajaan yang mampu menstabilkan politik tempatan di negeri ini.

“Perkara ini jelas dan saya menyokong apa yang diperkatakan oleh Ketua Penerangan BERSATU Sabah, Khairul Firdaus Akhbar Khan baru-baru ini mengenai perlunya GRS didaftarkan dan bergerak sebagai sebuah entiti politik.

“Memang BERSATU Sabah amat yakin dan percaya bahawa masa depan kita semua di Sabah, rakyat, ekonomi dan pembangunan negeri Sabah, mampu dibentuk dan dijayakan dengan kepimpinan sebuah kerajaan yang utuh dan bersatu padu, seperti GRS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan itu turut menjelaskan bahawa kesepakatan pemimpin dalam GRS adalah bukti bahawa pemimpin tempatan Sabah amat mengutamakan janji dan tidak memandang remeh amanat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

“Rakyat memilih kita, kita bergerak sebagai sebuah gabungan yang dipilih oleh rakyat Sabah dan untuk tujuan itu, adalah wajar untuk kita terus bergerak dan bekerja merealisasikan apa yang diharapkan oleh rakyat.

“Pastinya segala usaha akan lebih mudah dan perhubungan yang terjalin antara semua parti komponen dalam GRS akan lebih erat dan kukuh jika GRS dapat didaftarkan sebagai sebuah entiti parti, yang mana ia adalah suara dan harapan rakyat, yang melambangkan identiti kita di Sabah, identiti anak-anak Sabah.

“Hal ini sekali gus akan semakin menguatkan kita semua dan kekuatan yang dibentuk pastinya tidak akan digugat sama sekali oleh pihak luar, biar pun keadaan politik semasa di tempat lain bergoncang seperti ribut petir yang membadai dan merunsingkan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Fairuz mengajak semua rakyat dan pemimpin untuk terus berganding bahu dan bekerjasama dalam membawa perubahan ke arah merealisasikan impian Sabah Maju Jaya.

“Kita semua, tidak kira yang mewakili rakyat (wakil rakyat) atau pun rakyat, kita bersama bekerja, memainkan peranan masing-masing, membawa kemajuan dan kita bangkit kembali selepas berdepan dengan semua dugaan yang datang tanpa kita duga.

“Inilah ujian untuk kita dari Allah dan pastinya Allah akan membantu kita untuk pulih dan bangkit semula jika kita gigih berusaha dan terus berdoa untuk kesejahteraan negeri kita yang tercinta ini, InsyaAllah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|