
Kota Kinabalu: Kerjasama antara parti di negeri ini melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka memberi momentum yang baik kepada kerajaan Sabah.
Pengerusi Tetap Majlis Belia Sabah (MBS), Mazlan Joehari Manan berkata, ilham dan idea supaya parti politik didaftarkan sebagai satu pakatan atau gabungan melalui GRS adalah sesuatu yang baik.
“Dengan adanya penggabungan parti-parti di negeri Sabah melalui GRS akan memberi momentum yang baik kepada kerajaan negeri Sabah terutamanya dalam menstabilkan suasana politik dan mengangkat suara rakyat Sabah kepada kerajaan persekutuan.
“Gabungan atau pakatan tempatan seperti ini sudah pastinya memberi impak yang positif seperti yang telah diperlihatkan oleh gabungan parti-parti di negeri Sarawak melalui Gabungan Parti Sarawak (GPS) ,” katanya, di sini.
Beliau mengulas inisiatif bagi mendaftarkan GRS sebagai sebuah gabungan politik rasmi di Sabah yang disuarakan pemimpin pelbagai parti dalam gabungan berkenaan sebelum ini.
Katanya lagi, perpaduan dan kerjasama parti-parti politik amat penting dalam membawa kemajuan kepada Sabah.
“Ini terutamanya dalam usaha memperjuangkan hak-hak rakyat dan negeri ini yang dituntut daripada kerajaan persekutuan.
“Hasil bumi negeri ini terlalu besar dan luas tetapi kemajuan yang dicapai tidaklah seperti hasil bumi yang telah kita teroka sebelum ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar dengan wujudnya GRS sebagai sebuah gabungan politik rasmi, ia dapat mengeratkan lagi kerjasama antara parti politik di Sabah.
“Kami amat berharap agar dengan wujudnya GRS ini akan dapat mengeratkan perpaduan dan kerjasama dalam kalangan parti politik dan seterusnya membawa negeri ini lebih maju ke hadapan,” katanya.
-Deasoka