
Kota Kinabalu: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu bertahan jika semua parti gabungan dan wakil rakyatnya dapat bekerja dalam satu pasukan bagi memenuhi aspirasi rakyat.
Keyakinan itu dinyatakan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika mengulas kedudukan semasa kerajaan negeri pimpinan GRS yang kini berusia hampir setahun setengah.

Katanya, walaupun GRS dibentuk daripada sembilan parti gabungan dan dianggap rapuh, ia masih mampu bertahan jika ada kesepakatan yang padu dalam kalangan pemimpin serta wakil rakyatnya.
“Rakyat sudah meletakkan kepercayaan serta aspirasi yang tinggi kepada kerajaan yang ada hari ini, justeru kita perlu menghargai kepercayaan itu dengan kesungguhan bekerja untuk memajukan Sabah dan melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajkan rakyat,” katanya ketika merasmikan program ‘Retreat Backbenchers GRS’ di Kudat Glof and Marina Resort, malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Kelab Backbenchers Kerajaan GRS, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili GRS serta penceramah jemputan, Datuk Md Alwi Che Ahmad.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, kerajaan yang stabil menuntut kebersamaan semua pihak dalam menghadapi krisis yang dihadapi.

“Kebersamaan dan kerjasama ini amat penting untuk menstabilkan negara ketika krisis politik, kesihatan dan ekonomi yang sedang dihadapi rakyat Malaysia akibat penularan pandemik Covid-19,” katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar berkata pendekatan baharu yang lebih berkesan untuk membawa perubahan perlu dilakukan dalam usaha memenuhi aspirasi rakyat.
Jelasnya, rakyat semakin matang berfikir dan menilai tindakan kerajaan serta wakil rakyat, selain tidak tidak lagi terbuai dengan pengumuman jumlah peruntukan untuk melaksanakan projek pembangunan.
Sebaliknya, beliau berkata rakyat kini mahu melihat tindakan segera diambil dalam melaksanakan sesuatu projek kerana Sabah terlalu jauh ketinggalan dalam semua aspek termasuk pembangunan insfrastruktur, kesihatan dan pendidikan.
Disebabkan itu, katanya beliau lantang menyuarakan isu dan hak rakyat Sabah terutama dalam aspek pembangunan pada persidangan Dewan Rakyat agar diambil perhatian dan tindakan segera oleh kerajaan Pusat.
“Dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, saya memang lantang membawa isu-isu pembangunan di Sabah namun saya terkilan setiap isu yang berhubung kait dengan kepentingan rakyat di Sabah amat jarang ADUN Sabah tampil membuat kenyataan menyokong apa yang saya suarakan.
“Ia seolah-olah memberikan gambaran yang kita tidak bersatu dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat di negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga ADUN Lamag mahu setiap ADUN GRS turut mengambil bahagian dalam sesi perbahasan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, bukan saja berbahas membawa isu di kawasan masing-masing, malah perlu membawa isu yang lebih relevan dengan kepentingan rakyat dan negeri .
“Kita perlu menjadi ADUN yang berilmu pengetahuan berasaskan fakta bagi menangkis provokasi dan propaganda yang dibawa parti lawan ketika sidang DUN. Jika kita biarkan, ianya memberi presepsi yang negatif kepada kerajaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata Program Retreat Backbenchers ADUN GRS itu diharapkan dapat memberikan panduan kepada ADUN kerajaan mengenai ilmu perbahasan di samping menjadi platfrom bertukar-tukar pandangan untuk pembangunan kawasan masing-masing dan Sabah keseluruhannya.
-Deasoka