GRS-BN tentukan kerajaan stabil – Salleh

GRS-BN tentukan kerajaan stabil – Salleh

Kota Kinabalu: Pengerusi Kelab Backbencher Gabungan Rakyat Sabah -Barisan Nasional (GRS-BN), Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengalu-alukan perkembangan penubuhan GRS walaupun tanpa disertai UMNO.

Katanya, gabungan dan kerjasama itu akan menentukan kerajaan terus stabil dan dapat menunaikan tanggungjawab yang dijanjikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Saya memang mengalu-alukan perkembangan penubuhan GRS ini kerana kita harus menerima hakikat semasa bertanding PRN dulu, kita bertanding atas sebuah gabungan yang besar.

“Ketika itu BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan juga Perikatan Nasional (PN), jadi untuk kita menentukan gabungan tersebut dan akhirnya GRS ditubuhkan. Bagaimanapun UMNO tidak sebahagian daripadanya tetapi menyokong penubuhan ini,” katanya kepada media pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim dan Pengagihan Zakat Kumpulan Qhazanah Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung nama Kelab Backbencher GRS yang dipengerusikannya selepas penubuhan GRS tanpa disertai UMNO.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kini nama Kelab Backbencher GRS secara automatik bertukar kepada Kelab Backbencher GRS-BN.

“Dengan sendirinya ia dikenali sebagai Backbencher GRS-BN lah,” jelasnya yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah sebelum ini secara terbuka mencadangkan supaya GRS didaftarkan sebagai badan politik rasmi.

Ditanya jika penjenamaan semula kerajaan GRS-BN akan memberi kesan, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan menganggap ia tidak akan memberi kesan jika semua pihak memahami matlamat untuk bekerjasama.

“Pada saya tidak ada kesan jika kita memahami matlamat kita bekerjasama. Yang penting pada kita ialah dalam sistem politik Sabah ini ada tiga perkara pokok.

“Pertama kena ada semuanya bersetuju dengan pembangunan politik, untuk membangunkan peluang pekerjaan kepada rakyat. Kedua apa saya katakan adalah politik autonomi, memperjuangkan hak-hak Sabah dan ketiga, politik ‘accomodation’ untuk pastikan tiga kumpulan besar Bumiputera, Bumiputera Islam dan bukan Bumiputera seharusnya mendapat tempat dalam kepimpinan dan pembangunan di Sabah dan pada saya ini perkara asas yang harus diperjuangkan BN dan GRS,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|