
Tuaran: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri perlu membayar sekurang-kurangnya RM1 juta dividen setahun kepada kerajaan negeri bermula tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia bagi membantu menjana pendapatan negeri dan membawa lebih banyak pembangunan kepada rakyat.
Beliau bagaimanapun berkata kerajaan negeri tidak akan bergantung hanya kepada GLC untuk menjana pendapatan.
“Kita perlukan pelabur datang ke Sabah dan bawa masuk wang untuk projek mereka. Ini akan mewujudkan kesan positif kepada rakyat termasuk peluang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata dasar mesra pelabur adalah antara aspek yang digariskan dalam Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Dalam tempoh setahun setengah sejak pelancaran SMJ, kita berjaya menarik lebih 10 syarikat untuk datang melabur di Sabah,” katanya.
Melalui SMJ, katanya Sabah melangkah ke arah membangunkan ekonominya dan ia dibuktikan menerusi kutipan RM5.44 bilion hasil pada tahun lalu, iaitu yang terbesar dalam sejarah Sabah.
-Deasoka