Geng Gurun dalang pecah rumah mewah tumpas, rampas barangan RM200,000

Geng Gurun dalang pecah rumah mewah tumpas, rampas barangan RM200,000

Kota Kinabalu: Polis Kota Kinabalu berjaya melumpuhkan kegiatan jenayah pecah rumah yang aktif di daerah ini sejak tahun lalu apabila ketua bersama tiga lagi ahli ‘Geng Gurun’ ditangkap awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, semua suspek berusia antara 32 hingga 64 tahun itu ditahan di sekitar Kota Kinabalu hasil siasatan daripada kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa yang dipecah masuk sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah (tengah) ketika sidang media.

“Geng Gurun ini adalah kumpulan yang paling aktif di Kota Kinabalu yang diketuai seorang lelaki berusia 34 tahun bersama dua lelaki warga asing dan lapan warga tempatan.

“Geng ini telah melakukan 19 kes pecah rumah di Kota Kinabalu termasuk dua kes kecurian peti besi dan satu pistol selain turut terlibat dalam tiga kes pecah rumah di Tuaran, dua kes masing-masing di Kota Marudu dan Penampang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Antara barangan yang dirampas dipercayai daripada aktiviti pecah rumah yang dilakukan Geng Gurun di sekitar Kota Kinabalu.

Katanya lagi, jumlah keseluruhan barangan yang dicuri termasuk barangan kemas, komputer riba, beg berjenama dan barangan berharga lain mencecah sehingga RM520,000.

“Hasil soal siasat daripada tangkapan membawa kepada rampasan barang kes di kedai pajak gadai di Kota Kinabalu, Kota Belud dan di rumah suspek.

Enam ahli Geng Gurun yang masih bebas dan diburu polis

“Selain itu, rampasan juga berjaya dibuat daripada dua suspek yang membeli barangan curi berkenaan iaitu di Ampang, Selangor dan jumlah keseluruhan barangan rampasan adalah sebanyak RM200,000,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, modus operandi kumpulan jenayah itu adalah dengan membuat pemerhatian terhadap rumah-rumah mewah di sekitar Kota Kinabalu yang dijadikan sasaran untuk dipecah masuk.

“Apabila mereka yakin rumah itu tiada penghuni, mereka akan masuk dengan melompat pagar dan membuka atau mengumpil pintu dan tingkap rumah yang disasarkan.

“Barang-barang berharga itu kemudian akan dilupuskan iaitu dijual di kedai pajak gadai di Kota Kinabalu dan Kota Belud selain dihantar kepada pembeli barangan curi di Ampang,” katanya.

Katanya lagi, semua suspek mempunyai kesalahan lampau antara empat hingga 10 kes membabitkan jenayah pecah rumah, samun, memiliki dan salah guna dadah di mana ada yang pernah dijatuhkan hukuman atau sedang dalam proses perbicaraan.

Mohd Zaidi turut memaklumkan enam lagi ahli geng berkenaan masih diburu dan orang ramai diminta supaya menyalurkan maklumat berhubung suspek yang masih bebas untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|