Gempa bumi kuat di Indonesia, gegaran dirasai hingga ke Semenanjung

Gempa bumi kuat di Indonesia, gegaran dirasai hingga ke Semenanjung

Kuala Lumpur: Gempa bumi kuat yang melanda Utara Sumatera, Indonesia jam 9.39 pagi tadi menyebabkan gegaran di beberapa lokasi di bahagian barat Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun sehingga kini, tiada sebarang amaran tsunami dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, pusat gegaran 6.1 skala Richter itu terletak 0.2 darjah utara dan 100 darjah timur pada kedalaman 10 kilometer (km) di 76 km Barat Laut Payakumbuh, Indonesia.

“Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia. Gegaran dirasai di bahagian barat Semenanjung terutama di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Gegaran itu mencetuskan situasi panik apabila orang ramai yang berada di dalam bangunan di sekitar Lembah Klang berlari keluar dari bangunan ketika kejadian itu.

Terdahulu, dilaporkan berlaku gempa bumi berhampiran barat Utara Sumatera, Indonesia dengan magnitud 6.1 skala Richter, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|