Keningau: Hujan lebat sejak malam tadi menyebabkan Jalan Keningau-Kimanis, di Banjaran Crocker, di sini, mengalami gelongsoran tanah sehingga menutupi permukaan jalan berkenaan.
Bagaimanapun, tindakan pantas bomba melakukan pembersihan di jalan berkenaan berjaya menghalang berlakunya sebarang insiden tidak diingini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.13 malam.
Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba dilokasi kejadian, keadaan cuaca tidak menentu dipercayai mengakibatkan gelongsoran tanah dan serpihan batu ke permukaan jalan raya.
“Tindakan pasukan bomba terus membantu membersihkan kawasan yang terlibat menggunakan peralatan seperti cangkul dan semburan air jentera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi itu bagi mengalihkan tanah dan serpihan batu untuk memastikan keadaan jalan raya tidak licin dan selamat dilalui.
Katanya, tiada mangsa terlibat dan pasukan bomba terus membuat pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.25 malam.
-Deasoka