Ganding bahu jaga kebersihan – Shahelmey

Putatan: Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan aspek pemuliharaan dan kebersihan alam sekitar melibatkan komuniti di negeri ini terus terpelihara.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, persefahaman di antara akar umbi dan pemerintah dalam konteks itu mampu membawa kepada kejayaan pelaksanaan hasrat kerajaan.

Menurut beliau, langkah itu juga selaras dengan salah satu daripada tiga fokus Keluarga Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

“Ia sebenarnya adalah satu daripada cabang tiga fokus Keluarga Malaysia iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

“Kita bersyukur dikurniakan alam semula jadi yang begitu indah yang kaya dengan pelbagai hasil. Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai individu komuniti setempat untuk memelihara dan memuliharanya,” katanya.

Beliau ditemui pada program gotong royong dan penanaman pokok kelapa sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) peringkat negeri Sabah yang dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di daerah Putatan, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid; Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Zahimi Hassan dan Pegawai Daerah Putatan, Haryani Anah Abdul Kahar.

Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata program itu sejajar dengan kempen Bersih Putatan 2022 yang dilancarkan pada 1 April lalu.

“Program ini sejajar dengan kempen Bersih Putatan 2022 yang bertujuan untuk membudayakan Masyarakat yang mementingkan kebersihan.

“Ianya agar kita dapat hidup dalam persekitaran yang bersih dan sejahtera serta mengelak daripada jangkitan penyakit.

“Saya amat mengalu-alukan komitmen daripada semua ahli masyarakat sama ada di daerah Putatan atau di negeri Sabah secara amnya untuk mempunyai kesedaran dalam memelihara dan memulihara alam semula jadi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|