Gabungan SBCC, SUCC, KCCI bantu capai sasaran SMJ – Hajiji

Kota Kinabalu: Penggabungan tiga dewan perniagaan utama di Sabah mampu membantu usaha kerajaan negeri mencapai sasaran peningkatan perniagaan yang digariskan dalam Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Perkara itu disuarakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada pertemuan dengan delegasi Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (SBCC), Gabungan Dewan Perniagaan Cina Sabah (SUCCC) serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI di Menara Kinabalu, hari ini.

Hajiji menyampaikan cenderamata kepada Hasnol sambil diperhatikan Andrew Liew (dua kanan) dan Ladislaus (tiga kiri).

Hajiji berkata, menerusi penggabungan itu, dewan perniagaan akan menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan bagi merealisasikan objektif yang digariskan dalam Halatuju SMJ.

Sebelum itu, Presiden SBCC, Datuk Hasnol Ayub yang mengetuai delegasi bersama Presiden SUCCC, Tan Sri Andrew Liew Sui Fatt dan pemangku Presiden KCCI, Datuk Ladislaus Maluda memberi taklimat kepada Hajiji mengenai pembentukan sebuah jawatankuasa yang membabitkan ketiga-tiga dewan perniagaan.

Sebelum ini, Hasnol berkata ketiga-tiga dewan perniagaan tidak mempunyai kerjasama yang kukuh sehinggalah timbul cadangan untuk mewujudkan kerjasama secara rasmi bagi menyatukan ketiga-tiganya dari segi fungsi masing-masing.

Beliau berkata, mereka turut memaklumkan Hajiji mengenai perancangan untuk mengadakan lawatan perniagaan ke perniagaan (B2B) di Nusantara, Kalimantan bagi membentuk jaringan perniagaan susulan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

“Kita berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana menyokong ketiga-tiga dewan perniagaan dan kita melihat ke hadapan dalam usaha membantu kerajaan memandangkan kini kita sudah membentuk hubungan secara rasmi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|