Enam selamat, dua lemas jeti runtuh

Semporna: Enam remaja sempat diselamatkan manakala dua lagi lemas dalam kejadian jeti runtuh di Kampung Gading-Gading berhampiran Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, dua remaja lelaki yang lemas masing-masing berusia antara 14 dan 19 tahun.

Jeti runtuh menyebabkan dua lemas dalam kejadian di Kampung Gading-Gading, Semporna.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian jeti runtuh itu berlaku di Kampung Gading-Gading.

“Anggota kita menerima panggilan daripada anggota Batalion 17 PGA memaklumkan bahawa jeti kampung berkenaan telah runtuh dan menyebabkan kesemua lapan remaja yang berada di dalam pondok jeti berkenaan jatuh ke dalam laut.

“Enam remaja membabitkan empat lelaki dan dua perempuan berusia antara 11 hingga 19 tahun berjaya diselamatkan pihak polis dan dibantu penduduk kampung manakala dua lagi remaja lelaki masih hilang dan dikhuatiri lemas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, pada hari yang sama kira-kira jam 4.30 petang, dua remaja lelaki berkenaan berjaya ditemui namun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Kedua-dua mangsa telah diberikan bantuan kecemasan dan pihak ambulans tiba turut memberikan bantuan pernafasan namun kedua-duanya disahkan meninggal dunia pada hari yang sama pada jam 5.30 petang oleh doktor yang bertugas.

“Pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah laporan mati mengejut berkaitan kejadian ini dan punca kejadian jeti runtujh masih dalam siasatan,” katanya.

Mohd Farhan dalam pada itu menasihatkan semua jawatan kuasa kampung supaya membuat pemeriksaan terhadap jeti di kampung masing-masing untuk memastikan keselamatan pengguna.

“Sebarang maklumat berkenaan kejadian jeti runtuh boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat di talian 0165632379 atau balai polis Semporna di talian 089-782020,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|