
Tawau: Sebuah bot yang dinaiki enam pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai dari Indonesia berjaya diusir keluar selepas dikesan menceroboh masuk di kawasan Perairan Aji Kuning, Pulau Sebatik, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, bot yang dikendalikan seorang juragan lelaki itu dipercayai cuba masuk tanpa menggunakan dokumen dan laluan sah.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, bot pam berkenaan berjaya dikesan dalam rondaan rutin pasukannya.
Katanya, sebaik mengesan kehadiran bot pam yang mencurigakan itu, pasukan PPM terus menahannya untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dinaiki dua lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun.
“Semua individu terbabit turut gagal mengemukakan dokumen diri dan perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Ridzauddin berkata, bot pam itu kemudiannya diarahkan keluar dengan diiringi sehingga melepasi sempadan perairan negara.
“Pasukan Polis Marin Tawau sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan kawalan pergerakan di perairan negara khususnya bagi mengekang penularan wabak pandemik Covid-19.
“PPM juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara,” katanya.
Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, pasukan PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat menerusi aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197.
“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat sentiasa terjaga dan terkawal,” katanya.
-Deasoka