Empat lelaki ditahan dipercayai terlibat pemburuan haram

Kinabatangan: Tindakan empat lelaki memiliki senjata api buatan sendiri bersama peluru membawa padah apabila ditahan penguat kuasa dalam kejadian berasingan di sekitar Tongod, semalam.

Dalam kejadian itu, empat lelaki berusia antara 28 hingga 31 tahun terbabit dipercayai melakukan kegiatan memburu secara haram di kawasan hutan simpan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan Dzulbaharin Ismail

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, dua aduan telah diterima di Balai Polis Tongod berhubung penahanan empat suspek berkenaan.

Katanya, salah seorang suspek ditahan ketika penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Sabah membuat rondaan di sekitar Hutan Simpan Maliau Basin, Tongod.

Senjata api buatan sendiri yang dirampas dari empat individu menerusi tangkapan berasingan di sekitar Tongod.

“Ketika pemeriksaan dilakukan telah menemui satu laras senjata api buatan sendiri bersama 10 butir peluru dalam milikan suspek dan disyaki menjalankan aktiviti pemburuan haram di kawasan hutan simpan tersebut.

“Dalam kejadian berasingan, tiga lagi suspek berjaya ditahan Penguatkuasa Khas Jabatan Perhutanan Negeri Sabah di Hutan Simpan Gunung Tinkar, Tongod, selepas terserempak dengan sebuah pacuan empat roda yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan menemui satu laras senjata api buatan sendiri yang disimpan di belakang kenderaan dan enam butir peluru ditemui dalam beg sandang suspek. Mereka disyaki bergerak menggunakan kenderaan itu untuk menjalankan pemburuan haram di kawasan hutan simpan itu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dzulbaharin berkata, keempat-empat suspek itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kinabatangan untuk tindakan selanjutnya.

“Dua kertas siasatan berasingan dibuka dan disiasat dibawah seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum tidak kurang tujuh tahun atau denda tidak lebih dari RM 10,000,” katanya.

Beliau dalam pada itu menyeru agar masyarakat setempat menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pemburuan haram yang dikenal pasti ke Pusat Kawalan IPD Kinabatangan melalui talian 089-561890.

“Masyarakat juga dingatkan agar tidak memiliki atau menyimpan senjata api buatan sendiri tanpa lesen seperti bakakuk kerana ia adalah satu kesalahan yang serius,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|