Empat bot laju dipintas dan diusir keluar

Sandakan: Empat bot laju yang dikesan menceroboh masuk dari perairan Filipina, berjaya dipintas Pasukan Polis Marin (PPM) sebelum ‘dihalau’ keluar, semalam.

Dalam operasi di kawasan Laut Nunuyan, di sini, itu, semua keempat-empat bot berkenaan dijuragani oleh empat lelaki warga Filipina.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, sebaik berjaya dikesan dalam keadaan mencurigakan, pasukan operasi terus bertindak mengejar keempat-empat bot berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati semua Pendatang Asing Tanp Izin (PATI) terbabit mengaku berasal Filipina.

“Pasukan operasi terus mengiringi semua keempat-empat bot berkenaan keluar dari perairan negara.

“Tindakan berkenaan adalah salah satu usaha mengekang penularan wabak penyakit pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Rusdin berkata, semua PATI terbabit juga diarahkan supaya tidak memasuki perairan Malaysia selaras dengan kehendak Undang-undang Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Sehubungan itu, Rusdin berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|