Dua beranak rentung dalam kebakaran lima rumah

Tawau: Dua beranak ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan lima rumah di Kampung Titingan, Jalan Tawau Lama, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah malam itu, Kamisah Mapiasah, 40-an dan ibunya Sadiah Jabar, 70-an ditemukan rentung di dalam sebuah rumah jenis dua tingkat.

Kebakaran membabitkan lima rumah di Kampung Titingan, Jalan Tawau Lama.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, sepasukan anggota bersama jentera dikejar ke lokasi dengan dibantu daripada pasukan bomba Komuniti Sri Titingan untuk memadamkan kebakaran.

“Menurut laporan kebakaran membabitkan lima rumah iaitu tiga jenis tidak kekal terbakar 100 peratus dan dua lagi jenis separuh kekal terbakar 40 peratus serta 60 peratus.

“Operasi memadamkan kebakaran dijalankan menggunakan empat pancutan sumber air dari jentera bomba dan bantuan dari Bomba Komuniti Sri Titingan yang menggunakan pancutan menggunakan pam angkut sumber air dari Jabatan Air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, terdapat dua mangsa ditemui dalam kebakaran itu dan disahkan rentung oleh pasukan kesihatan di lokasi kejadian.

“Operasi terkawal pada jam 1.32 pagi dan ditamatkan pada jam 3.08 pagi.

“Kedua-dua mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu, turut membantu operasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|