Dua tekong terjun laut elak ditahan

Dua tekong terjun laut elak ditahan

Semporna: Dua tekong bot bertindak meloloskan diri dengan terjun ke laut selepas dikesan cuba menyeludup petrol ke negara jiran dalam kejadian di perairan Tenggara Pulau Si Amil, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 malam itu, dua tekong berkenaan bertindak demikian selepas sebuah bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Semporna cuba menghampiri bot mereka.

Bot berisi muatan petrol ditinggalkan dua tekong yang terjun ke laut dalam kejadian di perairan Tenggara Pulau Si Amil, Semporna.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, ketika anggotanya menjalankan tugasan Op Pluto Timur berjaya mengesan mengesan dua bot enjin sangkut di kawasan berkenaan.

“Ketika bot ronda APMM cuba merapat ke arah bot berkenaan, kedua-dua tekong bot bertindak terjun ke laut di kawasan yang cetek sebelum melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut pada bot yang ditinggalkan menemui tong berisi petrol yang dianggarkan sebanyak 3,500 liter dan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya lagi, nilai rampasan termasuk dua bot bersama enjin dan petrol dianggarkan lebih RM35,675 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang disebalik kegiatan ini,” katanya.

-deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|