Dua suspek pecah rumah, ditahan

Keningau: Dua suspek yang diburu selepas dikenalpasti terbabit dalam kes pecah masuk sebuah rumah di Kampung Tuarid Taud, di sini, Januari lalu, berjaya ditahan, semalam.

Kedua-dua suspek berusia 20-an yang berjaya ditahan itu membabitkan seorang lelaki tempatan dan seorang lagi warga asing.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Polis Nor Rafidah Kasim berkata, kedua-dua suspek dipercayai memecahkan masuk rumah milik seorang guru dan menyebabkan kerugian kira-kira RM5,000.

Katanya, siasatan awal, kejadian berlaku ketika pemilik rumah berusia 60 tahun terbabit keluar meninggalkan rumah bersama keluarga dan bermalam di Kampung Mempikit, di sini.

“Kejadian hanya disedari mangsa pada keesokan harinya apabila mendapati pintu dapur rumahnya terbuka dan keadaan rumah juga berselerak.

“Mangsa turut mendapati beberapa barangan hilang antaranya set komputer, telefon bimbit, dua cincin emas, tabung berisi wang syiling dan set Wifi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nor Rafidah berkata, siasatan turut mendapati kedua-dua suspek masuk rumah dari bahagian dapur dan tingkap yang tidak berkunci.

Sementara itu, Nor Rafidah berkata, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh sehingga 10 tahun dan denda atau sebat.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methapetamine.

Sehubungan itu, Nor Rafidah menasihati orang ramai supaya memeriksa semua pintu dan tingkap sebelum meninggalkan rumah.

Katanya, kunci rumah juga tidak digalakkan untuk diletakan di bahagian berdekatan dengan tingkap atau pintu rumah kerana ia akan memudahkan suspek melakukan jenayah.

“Ibu bapa juga dinasihatkan supaya memantau pergerakan anak-anak mereka agar tidak terjebak dengan aktiviti penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing.

“Orang ramai diminta melaporkan segera kepada pihak polis IPD Keningau di talian 087-332 222 sekiranya ternampak aktiviti meragukan dikawasan perumahan”, katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|