Dua parah, lori rempuh treler

Dua parah, lori rempuh treler

Papar: Seorang pemandu dan kelindan lori tiga tan parah selepas merempuh belakang sebuah lori treler dalam kejadian di Jalan Kampung Manggis, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, dua mangsa berusia 36 dan 43 tahun terbabit dilaporkan cedera di dada dan kaki akibat rempuhan kuat di kabin lori berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.25 tengah hari.

Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kemalangan didapati membabitkan lima mangsa dengan dua daripadanya mengalami kecederaan parah.

“Kedua-dua mangsa cedera terus diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum di hantar ke hospital menggunakan jentera EMRS,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, tiga lagi mangsa dilaporkan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan daripada kejadian kemalangan berkenaan.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.59 tengah hari.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|