Dua bot nelayan Vietnam ditahan, rampasan RM1.7 juta

Dua bot nelayan Vietnam ditahan, rampasan RM1.7 juta

Sandakan: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan dua bot nelayan Vietnam yang menceroboh masuk dan menangkap gamat secara haram di perairan daerah ini, kelmarin.

Dalam operasi berkenaan, seramai 12 individu warga Vietnam berusia lingkungan 28 hingga 51 tahun turut ditahan untuk tindakan selanjutnya.

12 individu warga Vietnam yang ditahan Pasukan Polis Marin di perairan Sandakan.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, kedua-dua kapal ikan milik warganegara Vietnam berkenaan dikesan masuk ke perairan Sandakan tanpa kebenaran.

Katanya, sebaik ditahan, semua anak kapal dan juragan terbabit terus diperiksa dan didapati tidak mempunyai sebarang keterangan diri yang sah.

“Kapal berkenaan juga tidak mempunyai kebenaran atau permit bagi menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia secara sah dari Jabatan Perikanan Malaysia.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa set peralatan menangkap gamat dan hasil gamat tersimpan dalam beberapa tong yang diperolehi secara haram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad berkata, nilai rampasan kali ini dianggarkan sebanyak RM1,752 juta termasuk kedua-dua kapal yang dirampas.

Katanya, semua tahanan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 untuk juragan kapal dan Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 untuk peralatan perikanan.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah masuk ke negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad berkata, pasukan PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat menerusi aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197.

“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan PPM Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah di talian 089-221453 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran perairan negeri ini sentiasa terjaga dan terkawal,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|