Dua bekas ADUN DAP Sabah sertai Warisan

Dua bekas ADUN DAP Sabah sertai Warisan

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin dan ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun secara rasmi hari ini telah menyertai Parti Warisan (WARISAN).

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kemasukan kedua-dua ADUN akan memperkukuhkan lagi parti itu di peringkat Sabah.

Mohd Shafie bersama Justin (kiri) dan Calvin (kanan) menunjukkan borang penyertaan keahlian parti Warisan di Ibu Pejabat Warisan, Kolombong, Kota Kinabalu.

“Seperti yang kita nyatakan sebelum ini, kita perlu perkukuhkan ‘local ground’ kita dan dalam pada itu kita melihat banyak cerita mengenai kedua-dua ADUN dari Tawau dan Sandakan ini.

“Mereka telah menyatakan bahawa mereka keluar bulan satu (Januari) dari DAP dan di peringkat awal banyak cerita digembar gemburkan (mereka) masuk parti sana, parti sini dan hari ini kita dapat melihat bahawa setelah bertemu dengan saya, mereka menyatakan keinginan mereka untuk putuskan masuk ke dalam parti tempatan sedia ada.

“Keduanya, mereka juga masa bertanding (pilihan raya lalu) menggunakan logo parti Warisan dulu. Jadi ini antara perkara yang saya lihat,” katanya dalam sidang media sempena kemasukan dua bekas ADUN DAP, di ibu pejabat Warisan, di Kolombong, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, bekas Ketua Menteri Sabah itu menyifatkan kemasukan ADUN ke dalam Warisan sebagai petanda positif.

“Ini bukan asing kepada kita, ada juga ADUN Bebas di Semenanjung sudah pun menyertai Warisan di Semenanjung, jadi ini satu trend cukup mengalakkan bagi kita untuk memastikan supaya kita dapat memperkuatkan parti Warisan,” katanya.

Sementara itu, Justin memaklumkan bahawa tindakannya meninggalkan DAP dan menyertai Warisan bukan atas kepentingan peribadi.

“Tetapi disebabkan kehilangan hala tuju dan pertelingkahan serius dalam parti menyebabkan saya percaya bahawa adalah tidak sesuai untuk terus berpegang kepada parti yang hanya menjadikan saya sebagai ‘pak turut’.

“Saya percaya ini adil dan tanggungjawab saya kepada pengundi dengan menyertai parti pembangkang yang memperjuangkan hak Sabah,” katanya.

Beliau juga percaya orang yang paling layak untuk menerajui hala tuju politik adalah Presiden Warisan.

Calvin dalam pada itu berkata, beliau kekal dengan pendirian sebagai ADUN yang menyokong parti pembangkang dan ketua pembangkang untuk memperjuangkan hak rakyat.

“Walaupun kita menjadi pembangkang sudah tetapi saya tetapkan untuk terus berkhidmat untuk rakyat, bukan untuk poket saya sendiri.

“Rakyat mahu parti ini, kalau tiada rakyat, saya tidak berdiri di sini. Jadi saya harap di masa hadapan, kita akan bersama-sama sehingga ke hujung. Saya akan terus bekerja untuk rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|