Desakan bubar Parlimen boleh beri kesan negatif kepada UMNO

Desakan bubar Parlimen boleh beri kesan negatif kepada UMNO

Labuan: Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Labuan menyifatkan desakan segelintir pemimpin dan ahli UMNO agar Parlimen dibubarkan sekarang sebagai sesuatu yang boleh memberi kesan negatif kepada parti berkenaan.

Ketuanya, Jura’ Adhiyah Harun berkata, laungan ‘bubar Parlimen’ ketika meraikan kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu juga tidak sepatutnya dilakukan, lebih-lebih lagi ketika menyambut ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, insiden itu hanya mencalar kemenangan dikecapi Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada PRN berkenaan, lebih-lebih lagi apabila ia ditularkan di media sosial.

“Kemenangan yang dikecapi pada PRN Johor sedikit tercalar berikutan insiden yang kini viral ketika ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Perhubungan UMNO Johor di Johor Bahru.

“Segelintir penyokong BN sendiri yang berkelakuan biadap dengan melaungkan ‘bubar Parlimen’ walhal pada ketika itu kita meraikan kemenangan besar BN di Johor.

“Insiden ini boleh memberi impak negatif kepada parti keramat kita, ibarat UMNO ini berpecah dan tiada permuafakatan di dalam parti itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menekankan insiden yang berlaku jelas bercanggah dengan prinsip dan budaya UMNO yang dibina atas dasar menitikberatkan rasa hormat dan patuh kepada pemimpin, tidak kira institusi Majlis Tertinggi UMNO atau institusi kerajaan berperlembagaan mahupun Majlis Raja-Raja Melayu.

Katanya, sebarang keputusan mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tertakluk kepada perbincangan di antara Ahli Majlis Tertinggi UMNO, termasuklah Perdana Menteri selaku Naib Presiden UMNO dengan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

“Pesanan kepada seluruh ahli UMNO akar umbi, janganlah bersifat lebih sudu daripada kuah kerana ini hanya memburukkan keadaan dan nama parti keramat ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk meneruskan delegasi dalam memelihara permuafakatan dan keharmonian dalam UMNO dan BN,” katanya.

Katanya, ahli akar umbi harus menghormati setiap keputusan dan peranan pemimpin tertinggi UMNO berhubung apa juga isu.

Beliau berkata, UMNO sentiasa mengangkat prinsip demokrasi dan turut mengambil kira suara akar umbi sebelum membuat sebarang keputusan.

“Justeru itu, saya sarankan agar setiap ahli akar umbi UMNO dan penyokong BN menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|