Cubaan seludup 36,000 batang rokok gagal

Cubaan seludup 36,000 batang rokok gagal

Semporna: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Semporna mematahkan aktiviti penyeludupan rokok dengan merampas 36,000 batang rokok seludup di perairan daerah ini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, bot ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot enjin sangkut di lokasi 0.1 batu nautika utara Kampung Alor.

Bot yang bawa muatan rokok dan tong ditahan Maritim Malaysia.

Ketika dihampiri, tekong bot terbabit bertindak memecut laju ke kawasan cetak dan terjun melarikan diri ke daratan berhampiran.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, pemeriksaan ke atas bot itu menemui tong-tong kosong dipercayai untuk diisi petrol di negara sebelum diseludup keluar.

“Pemeriksaan lanjut menemui 36,000 batang rokok dipercayai cuba diseludup masuk ke daerah ini.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot serta enjin dianggarkan berjumlah RM242,000,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan pemilik bot dan dalang di sebalik kegiatan ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, Norrimi berkata, Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hot sport’ terutama sekitar sempadan perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sabah melalui jalan laut.

Katanya, Maritim Malaysia menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talin 089-782619 atau MERS 999.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|