
Kota Kinabalu: Kurang 10 kematian sehari akibat Covid-19 dilaporkan di Sabah sejak kadar vaksinasi lengkap Covid-19 negeri ini mencapai 75 peratus bermula Disember lalu.
Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin hasil analisis terkini pihaknya berhubung keberkesanan vaksin dalam usaha mengurangkan kesan teruk jangkitan Covid-19.
Beliau berkata, berdasarkan analisa berkenaan, didapati berlaku kadar penurunan kematian akibat Covid-19 yang ketara jika dibandingkan kes kematian yang direkodkan pada Ogos dan September tahun lalu.
Katanya, rekod yang dikumpul JKNS pada Ogos dan September lalu, menunjukkan kadar kematian akibat jangkitan Covid-19 adalah antara 40 hingga 50 kes sehari.
“Analisa terkini kita yang baru saja semalam menunjukkan selepas mencapai 75 peratus vaksinasi pada Disember lalu, kes kematian kurang daripada 10 sehari,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan bilik laktasi atau penyusuan susu ibu di Ibu Pejabat Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, di sini, hari ini.
Dr Rose Nani berkata, semua hasil analisa berkenaan adalah fakta yang sepatutnya dilihat berbanding mendengar cerita tidak benar mengenai vaksin yang disebarkan kepada orang ramai.
Beliau berkata, kesedaran masyarakat mengenai kepentingan vaksin Covid-19 amat penting, dengan tumpuan ketika ini adalah untuk suntikan dos penggalak dan vaksin kanak-kanak.
“Bagaimanapun kita lihat sambutan orang ramai terhadap kedua-dua dos ini masih lagi rendah di Sabah sedangkan kita membuka sebanyak 255 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negeri tidak termasuk jangkauan luar ke pulau-pulau dan pedalaman serta sekolah-sekolah,” katanya.
Jelasnya, pengambilan dos penggalak dan vaksin kanak-kanak penting sebagai langkah pencegahan mengurangkan kesan teruk jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.
Katanya, berdasarkan situasi semasa, semua kes kematian akibat jangkitan Covid-19 di Sabah ketika ini membabitkan pesakit yang tidak mengambil dos penggalak, manakala 50 peratus yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan meninggal dunia terdiri daripada mereka yang tidak pernah menerima vaksin.
Beliau berkata, pengambilan dos penggalak dan vaksin kanak-kanak juga adalah langkah sewajarnya dalam menghadapi kemasukan pelawat asing berikutan pembukaan sempadan negara mulai 1 April depan.
“Jangkitan sudah ada dalam komuniti, sama ada sempadan dibuka atau tidak, yang menentukan penularan COVID-19 teruk atau tidak ialah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan mengelak bersentuhan kerana itu yang menyebarkan jangkitan.
“Langkah pencegahan dengan mendapatkan vaksin termasuk suntikan dos penggalak dan vaksin kanak-kanak juga sangat perlu. Apa yang penting kita mesti lindungi diri kita dengan vaksin,” katanya.
-Deasoka